SERDANG, – Kelab Sukan dan Kebajikan Bendahari (KSKB) terus memperkukuh budaya hidup aktif dan semangat kesukanan dalam kalangan warga Pejabat Bendahari menerusi penganjuran pertandingan badminton dan catur yang terbuka kepada semua staf Pejabat Bendahari.
Penganjuran kedua-dua acara ini merupakan antara inisiatif KSKB dalam menyediakan platform kepada warga Bendahari untuk beriadah, mengembangkan bakat serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam suasana persaingan yang sihat dan positif.
Pertandingan badminton yang telah diadakan pada 31 Julai 2026 bertempat di gelanggang Akademi Sukan, melibatkan empat kumpulan iaitu Bank Islam, Maybank, RHB dan CIMB. Tiga kategori dipertandingkan, masing-masing beregu campuran, beregu lelaki dan beregu wanita.
Dalam pertandingan tersebut, Bank Islam muncul sebagai johan, diikuti CIMB sebagai naib johan, manakala Maybank menduduki tempat ketiga dan RHB di tempat keempat.
Sementara itu, pertandingan catur telah berlangsung pada 21 Ogos 2026 bertempat di Bilik Perbincangan BPOB, dengan penyertaan daripada empat kumpulan yang sama. Pertandingan catur dilaksanakan secara berkumpulan dengan tiga peserta bagi setiap kumpulan.
Maybank muncul sebagai johan pertandingan catur, manakala Bank Islam meraih tempat kedua. RHB menduduki tempat ketiga dan CIMB berada di tempat keempat.
Penganjuran kedua-dua acara ini bukan sahaja memberi peluang kepada staf untuk mengasah kemahiran dan bakat dalam bidang sukan, malah menjadi medium untuk membina semangat berpasukan, disiplin, kerjasama dan hubungan kekeluargaan dalam kalangan warga Pejabat Bendahari.
Lebih signifikan, aktiviti ini turut menjadi asas latihan dan persediaan awal bagi menghadapi Sukan Jabatan Bendahari Universiti Awam Malaysia (SUKRIM) 2027, yang bakal menyaksikan Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai tuan rumah. Penglibatan secara berterusan dalam aktiviti sukan diharap dapat membantu meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta mengenal pasti bakat dalam kalangan warga Bendahari yang berpotensi untuk mewakili universiti.
Sebagai kesinambungan kepada usaha tersebut, pelbagai lagi acara sukan akan dianjurkan oleh KSKB dalam tempoh akan datang. Penganjuran secara berperingkat ini dijangka memberi lebih banyak peluang kepada staf untuk mengambil bahagian dalam pelbagai jenis sukan mengikut minat, kebolehan dan kecenderungan masing-masing.
Pelaksanaan pelbagai acara sukan ini juga diharap dapat menggalakkan penyertaan yang lebih menyeluruh dalam kalangan warga Pejabat Bendahari, sekali gus membentuk budaya kerja yang lebih sihat, aktif dan harmoni.
Komitmen serta semangat yang ditunjukkan oleh semua peserta sepanjang pertandingan membuktikan bahawa aktiviti sukan mampu menjadi medium berkesan dalam memperkukuh kerjasama, semangat kekitaan dan kesejahteraan warga kerja.
KSKB berharap siri penganjuran aktiviti sukan yang dirancang, terus mendapat sambutan dan sokongan daripada semua staf Pejabat Bendahari, bukan sahaja sebagai persediaan menuju SUKRIM 2027, malah sebagai platform mempererat hubungan sesama warga serta memupuk amalan gaya hidup sihat dan aktif.
Tarikh Input: 27/08/2026 | Kemaskini: 27/08/2026 | aini_abd

BANGUNAN CANSELORI PUTRA, ARAS 2, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, 43400, UPM SERDANG, SELANGOR.