Serdang, 30 Julai 2025 – Bengkel Semakan dan Penulisan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia (WP) bagi penerimaan pakai di Universiti Putra Malaysia (UPM) telah diadakan dengan jayanya pada 30 Julai 2025 bertempat di Bilik Seminar ACL, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi. Bengkel ini berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang dan telah menghimpunkan seramai 30 orang peserta terdiri daripada pegawai serta penolong akauntan UPM.
Tujuan utama bengkel ini adalah untuk menyemak semula kesemua Pekeliling Perbendaharaan sedia ada dan merangka penulisan semula pekeliling yang akan diterima pakai di peringkat universiti dengan pindaan yang bersesuaian. Bengkel dimulakan dengan bacaan doa oleh Encik Muhammad Hafiz bin Amrullah dan diteruskan dengan ucapan serta penerangan ringkas daripada Puan Yusnawati Mat Isa.
Sepanjang sesi bengkel, beberapa pegawai telah membentangkan cadangan pindaan terhadap pelbagai pekeliling, melibatkan sejumlah 48 pekeliling yang telah disemak semula. Sesi pembentangan ini turut menyaksikan pelbagai pandangan dan cadangan penambahbaikan dikemukakan oleh para peserta, yang akan diambil kira untuk tindakan selanjutnya oleh pihak pembentang.
Pada sebelah petang, perbincangan khusus mengenai pemakaian Arahan Perbendaharaan 58 (AP58) telah diadakan bersama Puan Yusnawati. Hasil perbincangan tersebut, pemakaian AP58 dengan pindaan dijangka akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan kewangan yang berkuat kuasa di kalangan warga UPM.
Bengkel ini diharapkan dapat meningkatkan kefahaman dan pematuhan terhadap dasar serta peraturan kewangan, di samping memastikan pengurusan kewangan universiti sentiasa selaras dengan kehendak semasa perbendaharaan.
Tarikh Input: 31/07/2025 | Kemaskini: 31/07/2025 | aini_abd

BANGUNAN CANSELORI PUTRA, ARAS 2, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, 43400, UPM SERDANG, SELANGOR.