KOLOKIUM PELAN STRATEGIK UPM 2026–2030 DAN PELUNCURAN BULAN SINERGI PUTRA UPM 2026 PERKUKUH HALA TUJU UNIVERSITI | PEJABAT BURSAR bursar
» BERITA » KOLOKIUM PELAN STRATEGIK UPM 2026–2030 DAN PELUNCURAN BULAN SINERGI PUTRA UPM 2026 PERKUKUH HALA TUJU UNIVERSITI

KOLOKIUM PELAN STRATEGIK UPM 2026–2030 DAN PELUNCURAN BULAN SINERGI PUTRA UPM 2026 PERKUKUH HALA TUJU UNIVERSITI

SERDANG, 15 Jun 2026 – Pejabat Bursar telah menganjurkan Kolokium Pelan Strategik UPM 2026–2030: Aspirasi Hala Tuju dan Komitmen Warga Universiti sempena Bulan Sinergi Putra UPM 2026 bertempat di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM.

Program yang dianjurkan oleh Pejabat Bursar dan dipengerusikan oleh Puan Siti Amira binti Shukor, Bursar UPM telah menghimpunkan Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti, Ketua Pusat Tanggungjawab serta warga UPM bagi membincangkan hala tuju strategik universiti untuk tempoh 2026 hingga 2030.

Kolokium yang bermula pada jam 9.00 pagi telah dipimpin oleh Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Ahmad Farhan Mohd Sadullah FASc, yang menekankan kepentingan kesepaduan dan komitmen seluruh warga universiti dalam merealisasikan aspirasi strategik UPM sebagai sebuah universiti bereputasi global yang berteraskan kecemerlangan akademik, penyelidikan dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Majlis kemudiannya diserikan dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Sri Jailani Johari, serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman bagi menyempurnakan peluncuran Bulan Sinergi Putra UPM 2026.

Dalam ucapan alu-aluannya, Naib Canselor UPM menegaskan bahawa Pelan Strategik UPM 2026–2030 merupakan dokumen penting yang akan menjadi panduan kepada universiti dalam menghadapi cabaran pendidikan tinggi yang semakin dinamik serta memperkukuh kedudukan UPM di persada antarabangsa.

Majlis turut menyaksikan peluncuran beberapa dokumen strategik universiti, iaitu Universiti Putra Malaysia Planetary Health and Sustainability Blueprint, Ringkasan Eksekutif Blueprint Keterjaminan Makanan UPM versi Bahasa Mandarin serta Pelan Pemacu Kesohoran Global UPM 2026–2035.

Para hadirin turut menyaksikan tayangan video dokumentari bertajuk “UPM Food Security: Seeds of Tomorrow” yang memaparkan peranan UPM dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara menerusi penyelidikan, inovasi dan pemindahan ilmu.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar dan lawatan ke tapak pameran yang mempamerkan pelbagai inisiatif strategik universiti. Program berakhir pada jam 12.15 tengah hari.

Penganjuran kolokium dan peluncuran ini mencerminkan komitmen berterusan UPM dalam memperkukuh budaya sinergi, meningkatkan kecemerlangan organisasi serta memastikan seluruh warga universiti bergerak seiring dalam merealisasikan visi dan misi universiti menjelang tahun 2030.

Tarikh Input: 25/06/2026 | Kemaskini: 25/06/2026 | aini_abd

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT BURSAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6208 / 3515
03-86560160
X, (12:35:37pm-12:40:37pm, 08 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]