Serdang , 5 Ogos 2025 - Satu lawatan penanda aras telah diadakan oleh Pejabat Bursar dan Pejabat Pembangunan dan Pengurusan Aset (PPPA) ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada 5 Ogos 2025. Delegasi ini terdiri daripada jurutera elektrik, penolong jurutera elektrik, akauntan, timbalan pendaftar, dan juruelektrik.
Ketibaan delegasi UPM disambut mesra oleh wakil UTeM. Lawatan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Musthafah Mohd Tahir, Pengarah Pusat Alam Sekitar Pintar (CENSEI), yang turut memperkenalkan inisiatif tenaga lestari dan sistem pengurusan tenaga yang dilaksanakan oleh universiti.
Objektif utama lawatan ini adalah untuk meninjau pelaksanaan pengurusan tenaga di UTeM, termasuk pencapaian pensijilan berkaitan tenaga yang telah diterima oleh pihak universiti. UTeM telah dikenal pasti sebagai institusi rujukan atau polisi penanda aras dalam pengurusan penggunaan sumber tenaga yang cekap dan mampan bagi UPM.
Sepanjang sesi lawatan, peserta turut diberikan taklimat berkaitan strategi pengurusan tenaga, pemantauan penggunaan elektrik secara pintar, serta pendekatan ke arah pensijilan pengurusan tenaga yang mapan. Sesi lawatan turut disusuli dengan sesi perbincangan dan soal jawab antara kedua-dua pihak bagi berkongsi cabaran, pengalaman dan cadangan penambahbaikan dalam aspek pengurusan tenaga.
Lawatan ini dijangka membuka peluang kolaborasi serta memperkukuh usaha UPM dalam mencapai standard pengurusan tenaga yang lebih cekap dan lestari pada masa akan datang.Dan secara keseluruhannya, lawatan ini telah membuka ruang kerjasama yang lebih kukuh antara UPM dan UTeM dalam memperkasa pengurusan tenaga lestari serta menyokong matlamat kelestarian institusi pengajian tinggi negara.
Tarikh Input: 06/08/2025 | Kemaskini: 06/08/2025 | aini_abd

BANGUNAN CANSELORI PUTRA, ARAS 2, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, 43400, UPM SERDANG, SELANGOR.