Serdang, 12 September 2025 – Majlis Apresiasi G8 telah berlangsung dengan penuh meriah sebagai tanda penghargaan kepada para atlet yang telah bertungkus lumus mengharumkan nama kumpulan G8 dalam Kejohanan Sukan Staf Universiti (SUSTAF) yang diadakan dari 30 Jun hingga 27 Julai 2025 yang lalu.
Majlis ini bertujuan meraikan kejayaan serta komitmen tinggi warga G8 yang telah berkorban masa dan tenaga disamping kekal menunjukkan semangat kesukanan sepanjang tempoh kejohanan. Ia juga menjadi platform untuk mengiktiraf usaha murni setiap atlet dan pegawai yang sentiasa memberi sokongan padu dalam memastikan G8 terus unggul dalam pelbagai acara sukan yang dipertandingkan.
Salah satu detik kemuncak majlis adalah penganugerahan Anugerah Suri Tauladan kategori lelaki kepada staf dari Pejabat Bursar, En. Mohamad Halim bin Mohamad Wahab. Beliau dipilih sebagai penerima anugerah berprestij ini setelah berjaya menyumbangkan dua pingat emas kepada G8 dalam acara Petanque dan juga Tenpin Bowling.
Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan warga G8, malah menjadi inspirasi kepada rakan sekerja lain untuk terus aktif dalam kegiatan sukan sepertimana ucapan tuan Pendaftar UPM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sosial dan Kebajikan Sukan Staf UPM, Muhazam Mansor, ketika majlis pembukaan SUSTAF tempoh hari, berkata kejohanan ini merupakan manifestasi komitmen universiti dalam memperkukuh budaya kecemerlangan staf secara holistik.SUSTAF bukan hanya memfokuskan kepada kecemerlangan kerja semata-mata, tetapi juga menitikberatkan kesejahteraan fizikal dan mental warga kampus. Ia menghubungkan staf menerusi semangat kesukanan yang murni serta memperkukuh silaturahim di semua peringkat.
Tarikh Input: 19/09/2025 | Kemaskini: 19/09/2025 | aini_abd

BANGUNAN CANSELORI PUTRA, ARAS 2, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, 43400, UPM SERDANG, SELANGOR.