PEMERIKSAAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN (PKK) 2025, PEJABAT BURSAR DIUJI LAGI | PEJABAT BURSAR bursar
» BERITA » PEMERIKSAAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN (PKK) 2025, PEJABAT BURSAR DIUJI LAGI

PEMERIKSAAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN (PKK) 2025, PEJABAT BURSAR DIUJI LAGI

UPM SERDANG, 5 Jun 2025 – Pemeriksaan Keselamatan dan Kesihatan (PKK) 2025 telah dilaksanakan di Pejabat Bursar, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada hari Khamis, 5 Jun 2025. Program bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir sekitar jam 12.00 tengah hari yang melibatkan pemeriksaan menyeluruh ke atas fasiliti dan persekitaran kerja bagi memastikan pematuhan terhadap garis panduan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang ditetapkan.

Sesi dimulakan dengan taklimat pembukaan yang disampaikan oleh Encik Mohd ‘Akhi Abu Bakar, selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Pejabat Bursar. Taklimat yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama Pejabat Bursar turut dihadiri oleh ahli-ahli JKKP Pejabat Bursar.

Pasukan pemeriksa terdiri daripada empat orang pegawai pemeriksa yang diketuai oleh Encik Saiful Anuar A. Rahman dari Fakulti Pertanian, Puan Arba’ah Md Salleh dari Insitut Biosains  dan dua pegawai dari Unit Bantu Mula, PPKKP. Pemeriksaan telah dijalankan secara terperinci melibatkan empat lokasi utama iaitu Pejabat Bursar 1, Pejabat Bursar 2, Pejabat Bursar 3, dan Bahagian Pengurusan Operasi Bendahari (BPOB). Pemeriksaan adalah meliputi beberapa skop seperti berikut :

  • Skop A (Sistem Pencegahan Kebakaran),
  • Skop B (Pematuhan Akta KKP 1994, Pelan Pengurusan Bencana UPM 2011 dan Panduan Pematuhan Akta KKP bagi Sekotor Awam 2019),
  • Skop F (Pematuhan Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeling (Buangan Terjadual) 2005,
  • Skop J (Semakan Tindakan Lepas Berdasarkan Hasil Pemeriksaan Keselamatan dan Kesihatan 2024).

Secara keseluruhannya, hasil pemeriksaan menunjukkan bahawa tahap keselamatan dan Kesihatan di Pejabat Bursar berada dalam keadaan baik dan memenuhi keperluan asas keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan. Tiada penemuan besar atau risiko kritikal yang dikenal pasti sepanjang pemeriksaan dijalankan. Namun begitu, beberapa cadangan penambahbaikan telah dikemukakan oleh pasukan pemeriksa sebagai langkah proaktif untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan dan pengurusan di tempat kerja.

Pemeriksaan ini merupakan sebahagian daripada audit berkala yang dijalankan oleh pihak universiti sebagai langkah kawalan dan pemantauan berterusan dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Ia juga sejajar dengan usaha universiti untuk membudayakan persekitaran kerja yang sihat, selamat dan kondusif untuk semua warga kerja.

Pejabat Bursar merakamkan penghargaan kepada pasukan pemeriksa serta semua ahli JKKP yang telah memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses pemeriksaan berlangsung. Komitmen berterusan seperti ini amat penting dalam memastikan standard keselamatan tempat kerja sentiasa berada pada tahap terbaik, sekaligus menyokong pencapaian matlamat strategik universiti.

Tarikh Input: 12/06/2025 | Kemaskini: 12/06/2025 | aini_abd

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT BURSAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6208 / 3515
03-86560160
X, (12:30:42pm-12:35:42pm, 08 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]