UPM SERDANG, 7 Julai 2026 – Bahagian Kewangan Pengurusan Perolehan, Pejabat Bursar, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima kunjungan persahabatan daripada Bahagian Perolehan & Aset Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor seramai lapan (8) orang pegawai untuk mendengar perkongsian pengalaman dan maklumat berkaitan Kaedah Penilaian Kewangan dan Penilaian Teknikal Bagi Perolehan Secara Sebut Harga dan Tender yang dilaksanakan di UPM bagi meningkatkan kefahaman serta kompetensi warga kerja UiTM dalam melaksanakan proses perolehan yang lebih cekap, telus dan berintegriti.
Sesi perkongsian ini telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Kewangan Pengurusan Perolehan, Pejabat Bursar UPM, Puan Noraini binti Abdullah yang berkongsi pengetahuan dan pengalaman berkaitan kaedah penilaian kewangan dan teknikal selaras dengan peraturan kewangan serta tatacara perolehan yang berkuat kuasa. Kaedah ini yang telah dimulakan secara rasmi mulai Januari 2026 untuk sebut harga dan tender bagi perolehan bekalan dan perkhidmatan telah diguna pakai oleh semua PTJ di UPM
Sepanjang sesi perkongsian, peserta didedahkan kepada kaedah penyediaan kriteria penilaian, pelaksanaan penilaian teknikal dan kewangan, kaedah pemarkahan, serta tanggungjawab Jawatankuasa Spesifikasi dan Penilaian Teknikal dalam memastikan setiap penilaian dan pengesyoran kepada Pihak Berkuasa Melulus dibuat secara objektif, adil dan berakauntabiliti. Sesi soal jawab yang aktif antara kedua-dua pihak menyumbang kepada percambahan fikiran dan berjaya merungkai pelbagai masalah yang dihadapi berkaitan isu perolehan.
Selain itu, sesi perkongsian turut menekankan kepentingan penyediaan spesifikasi yang jelas dan komprehensif bagi memastikan proses penilaian dapat dilaksanakan secara lebih berkesan serta memperoleh nilai terbaik kepada universiti (best value for money). Penganjuran sesi perkongsian ini membuktikan komitmen Pejabat Bursar UPM dalam memperkukuh tadbir urus perolehan melalui peningkatan pengetahuan dan kompetensi warga kerja, sekali gus menyokong usaha universiti ke arah penyampaian perkhidmatan yang cemerlang dan berintegriti.

Tarikh Input: 10/07/2026 | Kemaskini: 10/07/2026 | aini_abd

BANGUNAN CANSELORI PUTRA, ARAS 2, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, 43400, UPM SERDANG, SELANGOR.