SERDANG, Jumaat, 21 November 2025 – Bahagian Kewangan Pengurusan Perolehan (BKPP), Pejabat Bursar, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima kunjungan rasmi daripada Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bersama wakil Tender Pintar Sdn. Bhd. Sesi Perkongsian Sistem Perolehan Elektronik (Sistem Tender Wizard) yang dilaksanakan di UPM.
Sesi dimulakan dengan ucapan aluan oleh Bursar UPM, YBhg, Puan Siti Amira binti Shukor, yang turut mengalu-alukan kehadiran pegawai-pegawai UniKL dan rakan teknologi daripada Tender Pintar Sdn. Bhd. Ketua Bahagian BKPP meneruskan sesi perkongsian yang mana turut hadir ialah pegawai-pegawai kewangan UPM yang terlibat secara langsung dalam pengoperasian sistem perolehan Tender Wizard UPM.
Dalam sesi tersebut, BKPP, Pejabat Bursar, UPM turut membentangkan laporan statistik perolehan universiti bagi tahun 2023 hingga 2025, merangkumi lantikan perolehan bagi bekalan, perkhidmatan dan kerja melalui kaedah sebut harga dan tender di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), UPM Serdang dan UPM Sarawak.
Delegasi UniKL turut diberi penerangan mengenai garis masa pelaksanaan sistem di UPM, bermula daripada mesyuarat kick-off, penyediaan peranan pengguna, latihan pengguna serta latihan vendor, sebelum sistem ini beroperasi sepenuhnya di UPM Serdang dan UPM Sarawak.
BKPP, Pejabat Bursar, UPM turut berkongsi gambaran keseluruhan proses kerja perolehan di UPM, termasuk perancangan perolehan tahunan, penyediaan spesifikasi, pengiklanan, penilaian teknikal dan kewangan, tawaran, penerimaan bekalan/ perkhidmatan, penyediaan kontrak serta proses pembayaran.
Antara kelebihan sistem yang dibincangkan termasuk proses kerja komprehensif, pematuhan prinsip perolehan, urusan atas talian sepenuhnya, penjimatan masa, kos dan ruang penyimpanan dokumen serta kemudahan penjanaan laporan. Cabaran turut dibincangkan termasuk keperluan latihan pengguna, isu teknikal hari penutupan iklan, semakan templat spesifikasi dan kewangan dan keperluan storan tambahan.
Sesi perkongsian ini berjaya membuka ruang kerjasama lebih erat antara UPM dan UniKL dalam usaha memperkukuh amalan perolehan digital di institusi pendidikan tinggi swasta. BKPP, Pejabat Bursar UPM merakamkan penghargaan kepada UniKL dan Tender Pintar Sdn. Bhd. atas penyertaan serta komitmen dalam menjayakan sesi ini.

Tarikh Input: 24/11/2025 | Kemaskini: 24/11/2025 | aini_abd

BANGUNAN CANSELORI PUTRA, ARAS 2, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, 43400, UPM SERDANG, SELANGOR.