Serdang, 10 Oktober 2025 – Pejabat Pendaftar dengan kerjasama Pejabat Bursar Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Sesi Wealth & Property Mastery yang diadakan di Dewan Taklimat Serdang, Aras 1, Bangunan Canselori Putra. Program ini bermula pada jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada warga universiti.
Program ini bertujuan memberikan pendedahan serta meningkatkan kefahaman warga UPM dalam aspek pengurusan kewangan dan pelaburan hartanah. Antara pengisian utama sesi ini termasuklah cara mengelakkan kesilapan dalam pembelian rumah serta penipuan hartanah (scam), langkah mudah memanfaatkan kemudahan pinjaman LPPSA, serta semakan kewangan dan bimbingan percuma khusus untuk kakitangan UPM.
Seramai 23 orang peserta telah hadir yang terdiri daripada 11 orang kakitangan Pejabat Pendaftar dan 12 orang kakitangan Pejabat Bursar. Kehadiran para peserta menunjukkan minat dan kesedaran tinggi terhadap kepentingan literasi kewangan serta perancangan masa hadapan yang lebih berstrategi.
Penganjuran program seperti ini diharap dapat memperkukuhkan kefahaman warga universiti dalam bidang kewangan peribadi dan hartanah, seterusnya menyokong usaha UPM dalam membentuk warga kerja yang celik kewangan serta mampu membuat keputusan kewangan yang bijak.

Tarikh Input: 21/10/2025 | Kemaskini: 21/10/2025 | aini_abd

BANGUNAN CANSELORI PUTRA, ARAS 2, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, 43400, UPM SERDANG, SELANGOR.