Taklimat Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan, Pejabat Bursar Untuk Kesiapsediaan Menghadapi Kemudharatan | PEJABAT BURSAR
» BERITA » Taklimat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Pejabat Bursar Untuk Kesiapsediaan Menghadapi Kemudharatan

Taklimat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Pejabat Bursar Untuk Kesiapsediaan Menghadapi Kemudharatan

SERDANG - 7 Februari 2020 : Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pejabat Bursar (JKKP-BURSAR) telah menganjurkan Taklimat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan pada 7 Februari 2020. Taklimat diadakan di Dewan OSH dan disampaikan oleh Puan Nor Afida binti Miskam daripada Pejabat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Universiti Putra Malaysia. Seramai 55 orang peserta telah menghadiri taklimat ini.

Tujuan taklimat ini dianjurkan adalah untuk memberi maklumat dan pendedahan kepada staf mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja. Peserta telah diberi penerangan dalam mengenalpasti hazard (sumber atau situasi yang berpotensi mendatangkan kemudaratan dalam bentuk kecederaan atau penyakit kepada seseorang). Enam (6) jenis hazard yang dikenalpasti di tempat kerja adalah hazard kimia (pelarut, asid, alkali, gas dll), hazard fizikal (elektrik, haba, bunyi bising, radiasi, debu/habuk dll), hazard biologikal (virus, bakteria, kulat, parasit, serangga pembawa penyakit, haiwan berbisa dll), hazard ergonomik (tempat kerja tidak sesuai, pengendalian manual, postur kekok, kerja berulang dll), hazard psikososial (kerja shif, tekanan kerja, salah guna dadah & alkohol, gangguan seksual, keganasan dll) dan hazard alam sekitar (cuaca, tekanan alam sekitar dll). Peserta juga diterangkan kaedah untuk mengurangkan hazard, disamping mengetahui hak individu sebagai pekerja.  

Diharapkan dengan adanya taklimat ini, elemen keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja dapat memberi kesedaran dan pengetahuan kepada staf Pejabat Bursar yang memerlukan juga komitmen daripada pengurusan/majikan. Semoga setiap jabatan mempunyai persekitaran pekerjaan yang selamat dan sihat serta dapat menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan yang cemerlang.

Tarikh Input: 11/02/2020 | Kemaskini: 12/02/2020 | azizal

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT BURSAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97696208/ 3504
03-86560160
SXEYQAW~