Serdang, 23 Januari 2026 – Pejabat Bursar, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Taklimat Pelaksanaan Garis Panduan Dana Bukan Kerajaan (DBK) UPM yang melibatkan semua Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ), Ketua Pentadbiran serta pegawai yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal kewangan di PTJ masing-masing. Taklimat ini telah berlangsung di Auditorium Jurutera Radin Umar, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia.
Taklimat yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini telah disampaikan oleh Puan Mazitah Ahmad, Timbalan Bendahari, Pejabat Bursar. Program ini bertujuan memberikan penjelasan menyeluruh berkaitan tatacara pengurusan Akaun Amanah yang diklasifikasikan sebagai Dana Bukan Kerajaan (DBK), meliputi aspek perolehan, penyediaan belanjawan, pembayaran, pengurusan aset serta penjanaan hasil yang menggunakan dana berkenaan. DBK merupakan dana yang diperolehi oleh universiti daripada sumber luar seperti industri, orang perseorangan, dana luar negara dan sebagainya di mana punca asal peruntukan adalah bukan daripada pihak Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri.
Taklimat ini turut disertai oleh wakil UPM Sarawak secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet dengan jumlah penyertaan seramai 202 orang pegawai telah direkodkan menghadiri taklimat ini, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Universiti Putra Malaysia dalam memastikan pematuhan terhadap garis panduan kewangan serta pengukuhan tadbir urus dana yang cekap, telus dan berintegriti selaras dengan peraturan serta dasar kewangan universiti. Diharap dengan adanya garis panduan DBK ini dapat membantu pihak PTJ untuk membuat perolehan dan menguruskan perbelanjaan selaras dengan hasrat pembiaya dan memastikan tujuan aktiviti dapat dicapai tanpa pelanggaran kepada peraturan kewangan berkuatkuasa.



Tarikh Input: 30/01/2026 | Kemaskini: 30/01/2026 | aini_abd

BANGUNAN CANSELORI PUTRA, ARAS 2, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, 43400, UPM SERDANG, SELANGOR.