Serdang ,10 Jun 2024 -MyPutraFolio bertujuan untuk memperbaiki proses pengurusan sumber manusia di UPM. Untuk memperkenalkan sistem baru ini, Pejabat Bursar dan Pejabat Pendaftar telah bekerjasama untuk mengadakan sesi taklimat bagi memberikan pemahaman yang lebih mendalam mengenai pengisian dalam sistem MyPutraFolio HRMIS kepada staf di Pejabat Bursar.
Taklimat yang telah diadakan di Makmal Komputer, Fakulti Perubatan Veterinar, disampaikan oleh Encik Muhammad Ammer Shafiq Bin Awang@Ali, yang mewakili Pejabat Pendaftar, di mana beliau telah memberikan penerangan mendalam tentang MyPutraFolio. Beliau menekankan bahawa MyPutraFolio adalah langkah seterusnya selepas usaha terdahulu yang menumpukan kepada pengisian Deskripsi Tugas & Myportfolio dalam sistem HRMIS.
MyPutraFolio dirancang sebagai kesinambungan bagi usaha-usaha sebelumnya, dengan matlamat untuk memberikan lebih banyak fungsi dan kemudahan kepada kakitangan UPM dalam pengurusan data peribadi dan profesional mereka. Sesi penerangan mengenai MyPutraFolio telah diadakan pada waktu pagi dan petang, masing-masing dihadiri oleh 45 staf Pejabat Bursar, UPM.
Tujuan utama sesi ini adalah untuk memberikan pengetahuan asas dalam penggunaan MyPutraFolio dan memperkenalkan fungsi-fungsi utama yang disediakan oleh sistem ini. Encik Muhammad Ammer Shafiq Bin Awang@Ali menyatakan bahawa MyPutraFolio bukan sahaja akan membantu kakitangan dalam menguruskan data peribadi mereka, tetapi juga memberi mereka peluang untuk memantau dan memperbaiki perkembangan profesional masing-masing.
Beliau menekankan bahawa MyPutraFolio juga merupakan langkah proaktif dalam meningkatkan transparansi dan kesedaran mengenai peranan penting yang dimainkan oleh setiap individu dalam organisasi. Sesi ke-3 yang dirancang akan diadakan dalam masa terdekat, dan akan melibatkan staf yang sebelum ini tidak dapat menghadiri sesi-sesi sebelumnya, serta staf dari cawangan UPM Kampus Bintulu (UPMKB)
Tarikh Input: 12/06/2024 | Kemaskini: 12/06/2024 | aini_abd

BANGUNAN CANSELORI PUTRA, ARAS 2, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, 43400, UPM SERDANG, SELANGOR.