TAKLIMAT PENGURUSAN ASET - PEMERIKSAAN ASET, PENERIMAAN ASET TEKNIKAL (TECHNICAL INSPECTION) DAN PELUPUSAN ASET TEKNIKAL (PEP) 2026 | PEJABAT BURSAR bursar
» BERITA » TAKLIMAT PENGURUSAN ASET - PEMERIKSAAN ASET, PENERIMAAN ASET TEKNIKAL (TECHNICAL INSPECTION) DAN PELUPUSAN ASET TEKNIKAL (PEP) 2026

TAKLIMAT PENGURUSAN ASET - PEMERIKSAAN ASET, PENERIMAAN ASET TEKNIKAL (TECHNICAL INSPECTION) DAN PELUPUSAN ASET TEKNIKAL (PEP) 2026

SERDANG, 11 Mac 2026 – Lebih 500 pegawai yang terdiri daripada Pegawai Aset, Pegawai Pengesah Terimaan Aset Teknikal dan Pegawai Perakuan Pelupusan daripada pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) telah menyertai Taklimat Pengurusan Aset 2026 yang diadakan secara dalam talian melalui platform Google Meet. Program anjuran Pejabat Bursar ini bertujuan meningkatkan kefahaman kepada pegawai terlibat mengenai tatacara pengurusan aset yang lebih sistematik serta selaras dengan peraturan dan garis panduan pengurusan aset yang berkuat kuasa.

Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Ketua Seksyen Pengurusan Aset, Puan Junaidah Md Isa yang berkongsi penerangan berkaitan pengurusan aset khususnya melibatkan pemeriksaan aset alih, penerimaan aset teknikal (Technical Inspection) serta prosedur pelupusan aset melalui Perakuan Pelupusan (PEP). Sesi perkongsian ini memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai peranan dan tanggungjawab pegawai dalam memastikan pengurusan aset Universiti dilaksanakan secara cekap dan berintegriti.

Antara perkara utama yang dibincangkan ialah pelaksanaan Pemeriksaan Aset Alih bagi tahun 2026 yang melibatkan aset dari tahun 2020 sehingga kini. Pemeriksaan ini bertujuan memastikan keadaan dan prestasi aset sentiasa berada pada tahap yang baik, di samping memastikan setiap aset mempunyai rekod yang lengkap, tepat serta dikemas kini. Selain itu, pemeriksaan turut memastikan aset berada di lokasi sebenar seperti yang direkodkan dalam daftar aset.

Peserta juga diberi penerangan mengenai status aset yang terlibat dalam pemeriksaan seperti aset yang sedang digunakan, aset yang tidak digunakan, aset yang memerlukan pembaikan, aset yang sedang diselenggara serta aset yang hilang. Skop pemeriksaan melibatkan harta modal serta aset alih bernilai rendah yang memerlukan pemantauan berterusan bagi memastikan pengurusan aset dilaksanakan secara lebih teratur dan berkesan.

Taklimat ini turut menjelaskan mengenai pelantikan Pegawai Pemeriksa Aset Alih yang hendaklah terdiri daripada sekurang-kurangnya dua orang pegawai daripada Gred 1 dan ke atas serta tidak terlibat secara langsung dalam pengendalian aset berkenaan. Pegawai pemeriksa bertanggungjawab merancang jadual pemeriksaan, menerima senarai aset untuk diperiksa, melaksanakan pemeriksaan fizikal dan semakan rekod aset serta menyediakan laporan pemeriksaan aset alih untuk tindakan susulan.

Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ) juga memainkan peranan penting dalam memastikan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan hasil pemeriksaan aset yang dilaksanakan. Antaranya termasuk menilai semula keperluan aset, membuat penyerahan aset kepada PTJ lain bagi aset yang tidak diperlukan oleh PTJ, melaksanakan penyelenggaraan aset yang rosak, sama ada membaiki atau melupuskan aset tersebut dan mengemukakan laporan awal kehilangan bagi aset yang tidak dapat dikesan.

Selain sesi penerangan, taklimat selama dua jam setengah ini turut disusuli dengan sesi soal jawab yang berlangsung secara aktif apabila para peserta mengambil peluang untuk mengemukakan pelbagai persoalan berkaitan pelaksanaan pemeriksaan aset, pengurusan rekod aset serta prosedur pelupusan aset. Perbincangan yang berlangsung secara interaktif ini menunjukkan komitmen tinggi warga Universiti dalam memastikan pengurusan aset dilaksanakan dengan lebih telus, cekap dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Laporan Pemeriksaan Aset Alih hendaklah dikemukakan selewat-lewatnya pada 30 November 2026. Pelaksanaan pemeriksaan ini juga merupakan sebahagian daripada penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) PTJ yang mensasarkan pencapaian 100 peratus.

Penganjuran taklimat ini diharapkan dapat memperkukuh kefahaman warga Universiti terhadap kepentingan pengurusan aset yang cekap, telus dan berintegriti, seterusnya menyokong tadbir urus pengurusan aset Universiti yang lebih sistematik dan berkesan.

Link Slaid: https://drive.google.com/file/d/1QcbK6wE3NVsrJvRpnpSFxgdTqunX9OqL/view?usp=sharing

Link Video: https://drive.google.com/file/d/1wIKo9Af_3UsoYYImzHu8MRoOWbs-E2Sk/view?usp=sharing

Tarikh Input: 25/03/2026 | Kemaskini: 25/03/2026 | aini_abd

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT BURSAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6208 / 3515
03-86560160
X, (12:25:56pm-12:30:56pm, 08 Oct 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]