Serdang, 16 April 2025 – Bagi memperkukuh amalan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dalam kalangan warga kerja, Pejabat Bursar, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Taklimat Penyegaran Pelaksanaan EKSA 2025 bertempat di Dewan Taklimat Serdang, Bangunan Canselori Putra.
Sesi yang berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 12.00 tengah hari ini dikendalikan oleh Puan Nurainakmal binti Kamal Bahrin, Penolong Pendaftar Kanan dari Pusat Jaminan Kualiti, yang juga merupakan Penyelaras EKSA UPM.
Taklimat ini bertujuan untuk menyegarkan semula pemahaman staf terhadap pelaksanaan EKSA, menyemak semula amalan semasa berdasarkan Panduan EKSA UPM Edisi Kedua Semakan 2025 dan meningkatkan komitmen dalam mewujudkan persekitaran kerja yang profesional, sistematik, dan produktif.
Sepanjang sesi, Puan Nurainakmal telah berkongsi maklumat terkini berkenaan panduan dan kaedah pelaksanaan EKSA serta memberi penekanan kepada beberapa aspek penting seperti budaya kerja berdisiplin, pengurusan dokumen yang efisien, persekitaran kerja yang bersih, kemas dan selesa serta penyelarasan komitmen seluruh warga kerja bagi mencapai pelaksanaan EKSA yang berimpak tinggi.
Peserta turut diberi pendedahan terhadap elemen penilaian audit EKSA dan tips praktikal bagi memastikan ruang kerja sentiasa menepati piawaian yang ditetapkan.
Program ini berjaya menarik penyertaan aktif daripada warga Pejabat Bursar, mencerminkan komitmen tinggi dalam memperkukuhkan budaya kerja berkualiti serta menyokong aspirasi universiti dalam mempertingkat imej korporat dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam. Slogan ‘EKSA bukan sekadar sistem, tetapi gaya kerja cemerlang’ akan dibudayakan di kalangan warga Pejabat Bursar.


Tarikh Input: 21/04/2025 | Kemaskini: 21/04/2025 | aini_abd

BANGUNAN CANSELORI PUTRA, ARAS 2, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, 43400, UPM SERDANG, SELANGOR.