Kejayaan Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul sebagai naib juara keseluruhan Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) Ke-46, 2026 terus diserikan dengan pencapaian membanggakan warga Pejabat Bursar yang turut menyumbang kepada kecemerlangan kontinjen universiti dalam kejohanan berprestij itu.
Kejohanan yang telah berlangsung dari 6 hingga 15 Ogos 2026 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu, menghimpunkan lebih 3,443 atlet dan pegawai daripada 20 Universiti Awam menyaksikan persaingan sengit dalam 32 acara sukan yang dipertandingkan.
Selain menjadi medan persaingan bagi menguji keupayaan dan kecergasan warga universiti, kejohanan tersebut turut berperanan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan warga Universiti Awam.
Lebih membanggakan, seramai lapan orang staf Pejabat Bursar UPM telah diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran universiti dalam pelbagai acara sukan, sekali gus membuktikan komitmen warga Pejabat Bursar bukan sahaja dalam melaksanakan tanggungjawab perkhidmatan, malah turut aktif menyumbang dalam bidang kesukanan.
Mereka terdiri daripada
Daripada lapan wakil tersebut, dua daripadanya berjaya membantu kontinjen UPM membawa pulang pingat dalam acara masing-masing.
Sharifah Marlia binti Syed Hardan, yang mewakili Pasukan Futsal Wanita UPM, berjaya menyumbang pingat gangsa, manakala Mohamad Halim bin Mohamad Wahab turut menghadiahkan pingat gangsa kepada kontinjen UPM menerusi acara Triple Lelaki, Pétanque.
Pencapaian tersebut mencerminkan semangat juang, disiplin dan komitmen tinggi warga Pejabat Bursar dalam mengharumkan nama UPM di pentas sukan antara Universiti Awam.
Kejayaan UPM yang meraih kedudukan naib juara keseluruhan dengan menggondol 44 pingat,13 emas 17 perak 14 gangsa serta pencapaian wakil Pejabat Bursar di SUKUM Ke-46 diharapkan menjadi pemangkin kepada warga universiti untuk terus mengukuhkan budaya kesukanan, meningkatkan kecemerlangan serta membawa nama UPM ke tahap yang lebih tinggi pada masa akan datang.
Bagi edisi seterusnya, Universiti Sains Malaysia (USM) bakal mengambil alih tanggungjawab sebagai tuan rumah SUKUM Ke-47, sekali gus membuka ruang baharu kepada warga Universiti Awam untuk kembali mencipta kecemerlangan dalam arena sukan staf.
Tarikh Input: 19/08/2026 | Kemaskini: 19/08/2026 | aini_abd

BANGUNAN CANSELORI PUTRA, ARAS 2, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, 43400, UPM SERDANG, SELANGOR.