Jalinan Kasih Ramadhan Pusat Jagaan Nur Hasanah | BURSAR OFFICE
» NEWS » Jalinan Kasih Ramadhan Pusat Jagaan Nur Hasanah

Jalinan Kasih Ramadhan Pusat Jagaan Nur Hasanah

 

SERDANG, 26 Mei 2019 –Jalinan Kasih Ramadhan bersama warga Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang telah berjaya dilaksanakan pada hari Ahad yang lalu. Program ini merupakan program jaringan komuniti yang menggabungkan kolaborasi antara Pejabat Bursar UPM dengan Kelab Sukan dan Kebajikan SWCORP (KESISMA).

 

Pelbagai aktiviti yang telah dijalankan termasuk sesi gotong royong sekitar kawasan pusat jagaan dan majlis iftar bersama 29 warga Pusat Jagaan Nur Hasanah. Sumbangan berbentuk kuih raya, jus dan kordial, mini kit berisi kopiah, krim mandian, minyak attar, minyak wangi dan sepasang capal baharu turut menambahkan seri program ini. 4 set katil beserta tilan dan bantal sumbangan Kelab Kebajikan dan Sukan Bursar (KSKB) juga disampaikan oleh Tuan Bursar UPM, Tuan Haji Zulkiflee Othman yang mana set katil ini memenuhi keperluan pusat jagaan yang perlu menempatkan beberapa warga lagi di satu bilik stor yang telah dibersihkan.  Sesi tazkirah ramadhan oleh Encik Muhammad Fauzi bin Zamin, Biro Kerohanian KESISMA pula mengisi ruang waktu selepas solat maghrib berjemaah yang menekankan peri pentingnya menghargai jasa ibu bapa. Suasana sebak menyelebungi seketika lantaran mengimbau kenangan dan mengenang hibanya hati seorang ayah menanti sang anak yang tidak kunjung tiba.

 

Menyantuni warga emas di Pusat Jagaan ini membuka mata dan hati bahawa kasih sayang ibu dan ayah tidak  pernah bersempadan. Biar selama mana seorang anak melupakan mereka, walau sejauh mana mereka dibuang dari hidup berkeluarga, namun jauh di sudut hati tua sang ayah, tidak pernah luput doa dan harapan menginginkan satu pengakhiran yang terindah, iaitu diterima semula oleh anak dan isteri. Ungkapan seperti ‘Jangan lupakan pakcik’, ‘Jenguklah kami selalui’ dan kata-kata seumpamanya bermain-main di bibir tua mereka, sedang kami leka mendengar kisah-kisah pilu mereka.

 

Ahli Jawatankuasa Jaringan Komuniti HKIP Pejabat Bursar berbesar hati dan berterima kasih kepada semua yang menyumbang masa, tenaga dan kewangan sama ada secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan program ini mencapai objektif pelaksanaannya. Setinggi penghargaan kepada Tuan Haji Zulkiflee Othman, Puan Izariahwati Mohd Isa dan sukarelawan bersama keluarga mereka kerana sudi bersama-sama kami sehingga akhir program. Tidak lupa kepada pihak KESISMA yang turut bersama menjayakan program ini menjadi satu pengalaman berharga buat kami.

 

InsyaAllah, kami akan kembali lagi! Dan sehingga saat itu, ‘Ayah dan Ibu, itulah permulaan kami.

Date of Input: 30/06/2019 | Updated: 08/10/2019 | azizal

MEDIA SHARING

BURSAR OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97696208/ 3504
03-86560160
SXETTAD~