SERDANG, 7 November 2025 – Pejabat Bursar merupakan Penyelaras Program Sedekah Jumaat, anjuran Jawatankuasa Surau Canselori Putra, UPM. Program ini merupakan kesinambungan daripada amalan kutipan Sedekah Jumaat yang dilaksanakan secara mingguan dalam kalangan warga kerja Pejabat Bursar. Sumbangan yang dikumpulkan akan disalurkan dalam bentuk makanan sarapan pagi serta barangan keperluan asas.
November merupakan giliran Pejabat Bursar menyediakan sumbangan untuk staf serta pelanggan yang berurusan di Bangunan Canselori Putra. Seawal jam 7.45 pagi makanan yang telah dipesan akan sampai di lobi utama dalam bentuk bungkusan bagi memudahkan staf dan pelanggan membawa makanan ke tempat masing-masing. Pada masa tersebut, staf dan pelanggan sudah mula berkumpul untuk mengambil makanan yang disediakan. Agihan ini akan diselaraskan oleh pasukan sukarelawan Pejabat Bursar yang turut berpeluang berinteraksi dengan penerima bagi menyampaikan bantuan secara langsung. Antara makanan yang disediakan ialah nasi lemak, pelbagai kuih-muih dan buah-buahan.
Penggiliran sumbangan untuk program ini telah disusun sejak dari awal dan turut disokong oleh sembilan (9) Pusat Tanggungjawab (PTJ) lain yang beroperasi di Bangunan Canselori. Setiap PTJ akan mematuhi jadual yang disediakan dan secara bergilir-gilir melaksanakan tugas penyediaan makanan dan membuat agihan pada bila tiba giliran PTJ tersebut pada setiap bulan.
Program ini secara tidak langsung akan merapatkan hubungan antara staf di sepuluh (10) PTJ yang berada di Bangunan Canselori Putra selain mewujudkan semangat kerjasama dan kesepaduan antara warga universiti dalam melaksanakan aktiviti kebajikan. Program ini perlu diteruskan pada masa yang akan datang kerana dapat memberi banyak manfaat kepada staf terutama staf yang kurang berkemampuan.
Pejabat Bursar amat komited untuk terus menyokong aktiviti seumpama ini sebagai usaha memperkasa kesejahteraan komuniti serta membudayakan nilai ihsan dalam kalangan warga kerja UPM untuk mencapai True North yang telah digariskan oleh Naib Canselor.

Tarikh Input: 21/11/2025 | Kemaskini: 21/11/2025 | aini_abd

BANGUNAN CANSELORI PUTRA, ARAS 2, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, 43400, UPM SERDANG, SELANGOR.