Serdang, 13 Mei 2026 – Audit Dalaman Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) ISO 9001:2015 di Pejabat Bursar telah diadakan pada 12 & 13 Mei 2026 (Selasa & Rabu), jam 9.00 pagi - 4.30 petang bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Pejabat Bursar, Universiti Putra Malaysia (UPM). Audit Dalaman pada tahun ini diketuai oleh En. Ahmad Afeeq Roslan, Penolong Pendaftar Kanan, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).
Audit dimulai pada jam 9.00 pagi dengan Taklimat Pembukaan yang dipengerusikan oleh Timbalan Wakil Pengurusan Pejabat Bursar iaitu Pn. Mazitah Ahmad. Beliau mengalu-alukan kehadiran ketua juruaudit dan menerangkan serba sedikit tentang Pejabat Bursar. Seterusnya ketua juruaudit memberi penerangan tentang aturcara cara audit yang berlangsung selama dua (2) hari. Beliau juga turut memberi penerangan kepada semua juruaudit dalaman Pejabat Bursar dan mengingatkan semua juruaudit tentang tugas mengaudit bukanlah untuk mencari kesilapan tetapi untuk membantu untuk menambah baik perjalanan sistem pengurusan kualiti yang sedia ada. Pejabat Bursar mempunyai empat puluh empat (44) orang juruaudit yang terdiri daripada penolong akauntan. Audit akan melihat semua skop Pejabat Bursar termasuk Pengurusan, Perkhidmatan Utama Pejabat Bursar yang meliputi pengurusan belanjawan, penjanaan dan hasil, perolehan, perakaunan, pembayaran serta pengurusan aset. Semakan ini bertujuan memastikan setiap proses kerja dilaksanakan secara teratur, mematuhi prosedur yang ditetapkan serta memenuhi keperluan standard ISO 9001:2015. Klausa yang terlibat ialah klausa 4 hingga klausa 10.
Selain itu, skop sokongan turut diberi perhatian dalam audit ini yang merangkumi pengurusan pelanggan, kewangan, latihan, peralatan, kemudahan infrastruktur dan kenderaan, pengurusan sumber manusia serta pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Penilaian terhadap aspek-aspek ini adalah penting bagi memastikan keberkesanan sistem sokongan dalam menyokong pelaksanaan perkhidmatan utama organisasi. Pelaksanaan audit dalaman ini turut menjadi platform penambahbaikan yang berterusan dalam usaha memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, sistematik dan berkualiti kepada warga universiti.
Pada 13 Mei 2026 , satu sesi perbincangan penemuan audit telah diadakan bersama Ketua Juruaudit Dalaman (KJAD) dan ketua-ketua kumpulan audit bagi menyemak serta memperincikan dapatan audit yang direkodkan. Sesi ini turut disusuli dengan sesi semakan audit bersama semua pihak terlibat bagi mendapatkan pengesahan serta penjelasan lanjut terhadap penemuan yang dibangkitkan. Taklimat Penutupan Audit Dalaman kemudiannya telah berlangsung dengan lancar dan berakhir pada jam 5.30 petang pada hari yang sama. Jumlah penemuan yang dibentangkan belum dapat disahkan sehingga Pihak Pusat Jaminan Kualiti mengeluarkan jumlah secara rasmi.
Semoga dengan penganjuran audit dalaman ini diharapkan dapat memperkukuhkan budaya kerja berkualiti serta meningkatkan tahap kecekapan organisasi selaras dengan aspirasi Universiti Putra Malaysia ke arah kecemerlangan pengurusan dan pentadbiran.
Tarikh Input: 25/05/2026 | Kemaskini: 25/05/2026 | aini_abd

BANGUNAN CANSELORI PUTRA, ARAS 2, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, 43400, UPM SERDANG, SELANGOR.