Serdang, 14 Ogos 2025 - Pada 28 Julai 2025, Puan Nor Syafikah binti Bahrin, staf Seksyen Kewangan Perolehan Pejabat Bursar, telah ditimpa musibah di mana rumah beliau telah terbakar. Akibat kebakaran tersebut semua peralatan dalam rumah musnah dan mengalami kerosakan. Kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas di dalam rumah yang disedari oleh jiran yang kebetulan ternampak asap yang keluar daripada bahagian dapur rumah. Semasa Kejadian beliau dan suami berada di tempat kerja manakala anak-anak berada di sekolah. Tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan. Kebakaran ini juga telah memberi impak yang besar terhadap kehidupan beliau sekeluarga kerana semua barang dalam rumah telah terbakar dan perlu dibuang.
Sebagai tanda prihatin dan sokongan, Pengarah Wazan, wakil Pejabat Pendaftar dan wakil KEPERTAMA telah mengadakan lawatan ke rumah beliau pada 14 Ogos 2025, jam 10.30 pagi. Tujuan lawatan ialah untuk menziarahi kediaman dan melihat sendiri keadaan rumah sambil melihat bantuan yang diperlukan. Wakil Pejabat Bursar juga turut hadir semasa lawatan tersebut.
Semasa lawatan, wakil bukan sahaja hadir untuk memberikan sumbangan malah Pengarah Wazan juga turut menitipkan kata-kata semangat dan meminta beliau dan keluarga bersabar dengan ujian yang mereka hadapi. Sumbangan yang dihulurkan sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung oleh puan Nor Syafikah sekeluarga. Lawatan ini juga menjadi simbol solidariti dan menunjukkan semangat kekeluargaan sesama warga UPM dalam menghadapi saat yang sukar.
Inisiatif ini dapat mencerminkan semangat kebersamaan dan nilai kemanusiaan yang tinggi dalam kalangan warga UPM. Semoga beliau terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang mendatang.
Tarikh Input: 18/08/2025 | Kemaskini: 18/08/2025 | aini_abd

BANGUNAN CANSELORI PUTRA, ARAS 2, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, 43400, UPM SERDANG, SELANGOR.