BUSANA MELAYU KONTEMPORARI MENJADI TEMA MAJLIS MAKAN MALAM KELAB SUKAN DAN KEBAJIKAN BENDAHARI (KSKB), PEJABAT BURSAR, UPM. | PEJABAT BURSAR
» BERITA » BUSANA MELAYU KONTEMPORARI MENJADI TEMA MAJLIS MAKAN MALAM KELAB SUKAN DAN KEBAJIKAN BENDAHARI (KSKB), PEJABAT BURSAR, UPM.

BUSANA MELAYU KONTEMPORARI MENJADI TEMA MAJLIS MAKAN MALAM KELAB SUKAN DAN KEBAJIKAN BENDAHARI (KSKB), PEJABAT BURSAR, UPM.

SERDANG, 13 Oktober 2023 – Kelab Sukan dan Kebajikan Bendahari (KSKB), Pejabat Bursar sesi 2021/2023 telah menganjurkan satu majlis makan malam khas untuk meraikan kesemua ahli KSKB yang telah diadakan secara gilang gemilang di Dewan Renjana By Lanai, Mercure Living Hotel, Putrajaya. Majlis yang bertemakan ‘Busana Melayu Kontemporari’ tersebut telah dihadiri hampir 160 orang termasuk dengan kehadiran ahli keluarga serta beberapa orang pesara yang telah menamatkan perkhidmatan di Pejabat Bursar sepanjang tahun 2021 sehingga 2023. Antara pesara yang dijemput khas untuk hadir termasuklah Puan Norlian Ismail, Encik Ngadinas Bin Hussin beserta isteri Puan Siti Eshah Binti Othman, Puan Aziah Binti Noh dan ramai lagi.  

Pada malam itu, majlis dimulakan dengan bacaan doa daripada Encik Azrul Bin Muhammad Juni sebelum diteruskan dengan ucapan daripada Pengerusi KSKB iaitu Encik Azahari Bin Mohamad. Kemuncak pada majlis itu adalah dengan ucapan perasmian daripada Penaung KSKB yang juga merupakan Bursar, Pejabat Bursar UPM, Puan Hajah Izariahwati Binti Mohd Isa yang telah melahirkan rasa gembira kerana dapat bersama-sama dalam satu majlis yang telah lama tidak diadakan disebabkan oleh penularan wabak Covid-19 sebelum ini.

Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan-persembahan daripada tiga (3) kumpulan yang merupakan gabungan-gabungan daripada beberapa seksyen kewangan yang begitu komited dalam memberikan persembahan yang terbaik dan rata-rata jemputan yang hadir amat berpuas hati dengan persembahan yang diberikan termasuk dari segi konsep persembahan, kreativiti dan busana yang digayakan. Acara pertukaran hadiah juga turut diselitkan sepanjang majlis tersebut berlangsung untuk kesemua ahli KSKB serta penyampaian Sijil Penghargaan Kepada Pencapaian Staf Pejabat Bursar di Sukan Staf UPM (SUSTAF) tahun 2023.

Acara kemuncak pada malam itu adalah penyampaian hadiah bagi Busana Terbaik Lelaki (Kanak-Kanak), Busana Terbaik Perempuan (Kanak-Kanak) , Busana Terbaik Lelaki (Dewasa), Busana Terbaik Wanita (Dewasa) dan juga pengumuman kategori Persembahan Terbaik. Encik Mohd Hazwan Habali dan Puan Nurul Nazaton Binti Abd Aziz daripada Seksyen Pentadbiran telah diumumkan sebagai pemenang bagi busana terbaik manakala gabungan Pejabat Bursar 1 bersama Seksyen Kewangan Pelajar, Seksyen Kewangan Canselori dan Bahagian Kewangan HSAAS telah mengungguli kategori persembahan terbaik. Pejabat Bursar 2 pula berada ditempat kedua dan tempat ketiga adalah milik gabungan Bahagian Kewangan Pengurusan Operasi Berpusat (BPOB) bersama Seksyen Kewangan FPSK, Seksyen Kewangan Fakulti Kejuruteraan, Seksyen Kewangan Penyelidikan dan Seksyen Kewangan Fakulti Veterinar. Majlis tersebut berakhir dan bersurai pada jam hampir 11 malam.

Tarikh Input: 31/10/2023 | Kemaskini: 31/10/2023 | aini_abd

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT BURSAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97696208/ 3504
03-86560160
SXFCWA5~