Serdang, 26 Jun 2026 – Pejabat Bursar, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima kunjungan daripada delegasi Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC) dalam sesi Lawatan Penanda Aras Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) yang berlangsung pada Jumaat, 26 Jun 2026, dari 3.00 petang hingga 4.30 petang di Bahagian Pembayaran dan Operasi Berpusat (BPOB), Pejabat Bursar UPM.
Lawatan ini bertujuan untuk berkongsi amalan terbaik serta pengalaman dalam pelaksanaan EKSA, di samping mengukuhkan hubungan kerjasama antara Pusat Tanggungjawab (PTJ) di UPM. Delegasi iDEC telah diberikan taklimat ringkas mengenai pelaksanaan EKSA di BPOB, termasuk pengurusan ruang kerja, penyediaan sudut EKSA, dokumentasi, inovasi serta inisiatif penambahbaikan berterusan yang diamalkan oleh warga Pejabat Bursar.
Sepanjang lawatan, para peserta dibawa melawat kawasan BPOB bagi melihat sendiri pelaksanaan elemen-elemen EKSA yang menitikberatkan aspek kebersihan, kekemasan, keselamatan, kreativiti, inovasi serta amalan hijau. Sesi lawatan turut disusuli dengan perbincangan dua hala yang memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan, berkongsi idea dan membincangkan pendekatan terbaik dalam memperkukuhkan budaya kerja berkualiti melalui pelaksanaan EKSA.
Program ini diharapkan dapat menjadi platform perkongsian ilmu yang bermanfaat serta memberi inspirasi kepada kedua-dua PTJ dalam usaha memperkasakan pelaksanaan EKSA secara lebih sistematik, kreatif dan mampan. Selain itu, lawatan ini turut mencerminkan komitmen warga UPM dalam membudayakan amalan kerja yang kondusif, cekap dan berorientasikan penambahbaikan berterusan demi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.
Lawatan diakhiri dengan sesi bergambar sebagai kenang-kenangan serta penyampaian cenderamata sebagai simbol penghargaan atas jalinan kerjasama yang terjalin antara iDEC dan Pejabat Bursar UPM.
Tarikh Input: 29/06/2026 | Kemaskini: 29/06/2026 | aini_abd

BANGUNAN CANSELORI PUTRA, ARAS 2, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, 43400, UPM SERDANG, SELANGOR.