MAJLIS PERPISAHAN PERSARAAN PEGAWAI TADBIR PEJABAT BURSAR | PEJABAT BURSAR
» BERITA » MAJLIS PERPISAHAN PERSARAAN PEGAWAI TADBIR PEJABAT BURSAR

MAJLIS PERPISAHAN PERSARAAN PEGAWAI TADBIR PEJABAT BURSAR

SERDANG, 7 Julai 2023 – Menjadi lumrah kehidupan, ada yang datang dan pergi silih berganti. Begitu jualah dengan nasib Pejabat Bursar yang akan kehilangan seorang yang sangat istimewa di hati semua staf.  Pada petang Jumaat yang penuh berkah iaitu bersamaan dengan tarikh 7 Julai 2023 telah diadakan satu majlis Menyanjung Budi Menyanjung Bakti iaitu Majlis Persaraan Puan Aziah Binti Hj Noh yang diadakan di Foyer Dewan Taklimat Serdang.

Majlis ini diraikan dengan penuh meriah dan bermakna oleh staf dan pegawai-pegawai daripada Pejabat Bursar mulai jam 3.00 petang

Majlis ini dimulai dengan kehadiran semua staf dan pegawai pada jam 2.50 petang yang disambut dengan aluan daripada Pengacara Majlis iaitu Encik Mohd Hafiz Amrullah. Selepas bacaan doa bagi memberkati majlis selesai, Puan Bursar dijemput untuk memberikan ucapan pembukaan bagi meraikan bakal pesara pada hari tersebut. Majlis diteruskan dengan ucapan daripada wakil staf pelaksana iaitu Puan Wan Mirani dan diiringi dengan tayangan montaj yang memaparkan suka duka perjalanan kerjaya Puan Aziah di UPM dan Pejabat Bursar untuk tatapan dan kenangan semua staf

 

Pn Aziah turut mengambil peluang di majlis ini untuk memberikan ucapan penghargaan dan kata-kata semangat agar semua staf dapat meneruskan perjuangan beliau menjadikan Pejabat Bursar memenangi semua acara yang dipertandingkan di universiti. Majlis diserikan dengan acara pemotongan pulut kuning yang dibentuk menjadi kek yang cantik sebagai simbolik kepada perpisahan  ini.

 

Sambil semua staf menjamu selera diiringi oleh deklamasi puisi dan nyanyian daripada Puan Suzanawati Ali yang merdu dan membuai perasaan, wakil-wakil bahagian mengambil giliran untuk menyampaikan cenderahati kenangan sempena persaraan Puan Aziah. Suasana pilu menyelubungi majlis tersebut dengan pelukan dan tangisan  bersilih ganti seolah-olah tidak merestui perpisahan ini.

 

Majlis ditamatkan dengan sesi punch out terakhir oleh Puan Aziah sebagai menandakan detik terakhir beliau bergelar Pegawai Tadbir di UPM.

 

Tarikh Input: 28/07/2023 | Kemaskini: 28/07/2023 | aini_abd

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT BURSAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97696208/ 3504
03-86560160
SXFCVAA~