Seri Iskandar, 13 September – Karnival Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) kali ke-13 yang berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar telah menutup tirai dengan penuh gemilang, meninggalkan kenangan manis buat kontinjen Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila acara Petanque kategori wanita berjaya menyumbang emas tunggal kepada UPM.
Karnival sukan dwitahunan kali ini telah menghimpunkan sebanyak 58 agensi kerajaan dengan penyertaan seramai 3,702 atlet dan 616 pegawai yang bertanding dalam 17 acara sukan sepanjang empat hari, bermula dari 9 hingga 13 September 2025. Kehadiran para penyokong yang membanjiri lokasi kejohanan turut menambah kemeriahan, sekali gus menyuntik semangat kepada para peserta untuk tampil hebat dan beraksi dengan penuh tenaga.
UPM yang menghantar penyertaan dalam lima acara iaitu Bola Tampar Wanita, Petanque Berpasukan Lelaki & Wanita, Futsal Lelaki, Dart Berpasukan Campuran serta Tenpin Bowling Lelaki, memberi saingan sengit kepada pasukan yang lain.
Bagi acara Petanque, kategori lelaki menyaksikan 15 pasukan berentap daripada beberapa pasukan manakala 9 pasukan bersaing dalam kategori wanita. Bagi acara Petanque, pasukan UPM turut dibarisi oleh staf Pejabat Bursar – En Mohamad Halim bin Mohamad Wahab, En Mohd Asri bin Abdullah dan Cik Khairunnisa binti Zakaria. Mereka berjaya menampilkan persembahan cemerlang hingga ke peringkat akhir.
Pasukan Wanita UPM berjaya menewaskan tuan rumah UiTM, selain mengatasi cabaran sengit daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sekaligus menggondol emas pertama buat kontijen. Kejayaan tersebut melakar sejarah manis apabila menjadi satu-satunya pingat emas yang dibawa pulang. Sementara itu, pasukan lelaki pula terpaksa akur setelah perjuangan mereka berakhir di peringkat suku akhir selepas ditunjukkan jalan keluar oleh pasukan UiTM pada hari ketiga kejohanan.
Secara keseluruhan, bagi edisi kali ke-13 ini, DBKL muncul juara keseluruhan dengan pungutan 112 mata, diikuti rapat oleh MBSA di tempat kedua dengan hanya perbezaan 11 mata. UPM menamatkan cabaran di kedudukan ke-17 dengan mengumpul 20 mata. Walaupun tidak berada di kedudukan teratas, kejayaan pasukan Petanque wanita tetap menjadi kebanggaan warga UPM dan penyuntik semangat untuk menghadapi edisi SUKANUN yang akan datang.
Tahniah diucapkan kepada semua atlet yang telah beraksi dengan penuh dedikasi dan mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang kejohanan ini. Walaupun kontinjen UPM hanya membawa pulang satu pingat emas, pencapaian ini tetap membanggakan kerana ia membuktikan kemampuan kita bersaing dengan agensi besar yang lain.
TAHNIAH! TAHNIAH! TAHNIAH! WE ARE SO PROUD OF U GUYS!

Tarikh Input: 19/09/2025 | Kemaskini: 14/10/2025 | azizal

BANGUNAN CANSELORI PUTRA, ARAS 2, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, 43400, UPM SERDANG, SELANGOR.