Serdang-15 Ogos 2024: SUKUM 2024 telah membuktikan bahawa sukan adalah alat penyatuan yang berkesan, melintasi batas bangsa, agama, dan negara. Begitu juga di SUKUM 2024, 3 orang staf Pejabat Bursar turut mengambil bahagian demi memartabatkan industri sukan UPM di arena kebangsaan. Pejabat Bursar yang diwakili oleh Encik Mohamad Asri Abdullah bagi sukan Petanque di mana beliau digandingkan bersama Encik Mohamad Halim bin Mohamad Wahab, serta Cik Syarifah Marlia binti Syed Hardan di dalam pertandingan Futsal Wanita.
Pemergian semua atlet ke Universiti Malaysia Sabah diraikan dengan penuh kemeriahan dengan iringan doa agar kejayaan memihak kepada UPM tidak sia-sia apabila UPM dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan SUKUM 2024 menunjukkan prestasi cemerlang di peringkat kebangsaan.
Keputusan pertandingan mencatat kejayaan yang membanggakan. Kejohanan Petanque berkumpulan yang diwakili oleh En Halim dan Encik Asri berjaya merangkul pingat gangsa manakala kejohanan Futsal Wanita pula berjaya membawa pulang pingat perak.
Kejayaan ini disambut dengan penuh kegembiraan oleh semua warga Pejabat Bursar. Mereka amat berbangga dengan pencapaian ini dan berharap semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh atlet-atlet ini akan terus memberi inspirasi kepada seluruh warga Pejabat Bursar. Semoga kejayaan ini akan memperkukuh minat dan penyertaan dalam sukan, serta memotivasi lebih ramai individu untuk terlibat dalam aktiviti sukan di masa hadapan. Dengan semangat dan dedikasi yang tinggi, Pejabat Bursar UPM berazam untuk terus menyokong dan memartabatkan industri sukan di masa akan datang.

Tarikh Input: 17/08/2024 | Kemaskini: 17/08/2024 | aini_abd

BANGUNAN CANSELORI PUTRA, ARAS 2, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, 43400, UPM SERDANG, SELANGOR.