TAKLIMAT PEKELILING PEJABAT BURSAR BILANGAN 6 TAHUN 2022: TUNTUTAN BAYARAN BALIK | PEJABAT BURSAR
» BERITA » TAKLIMAT PEKELILING PEJABAT BURSAR BILANGAN 6 TAHUN 2022: TUNTUTAN BAYARAN BALIK

TAKLIMAT PEKELILING PEJABAT BURSAR BILANGAN 6 TAHUN 2022: TUNTUTAN BAYARAN BALIK

Serdang, 18 Januari 2023 -  Pejabat Bursar telah mengadakan Taklimat Pekeliling Pejabat Bursar Bilangan 6 Tahun 2022: Tuntutan Bayaran Balik berikutan terdapat beberapa pindaan baharu yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan universiti. Taklimat ini telah disampaikan oleh Puan Yusnawati binti Mat Isa, Ketua Bahagian Kewangan Kemudahan Staf bertempat di Dewan Auditorium, Fakulti Perubatan Veterinar, UPM.

Sasaran peserta adalah terdiri daripada pegawai dan staf yang terlibat secara langsung dengan pengurusan tuntutan bayaran balik, para penyelidik dan pensyarah di semua Pusat Tanggungjawab UPM termasuk di Kampus Bintulu Sarawak. Taklimat ini dijalankan serentak secara fizikal, atas talian dan juga boleh ditonton melalui FB Live Pejabat Bursar. Seramai 1,220 orang peserta telah mengikuti taklimat ini melalui ketiga-tiga saluran penyampaian. Taklimat yang sama juga telah diberikan terlebih dahulu kepada semua pegawai dan staf Pejabat Bursar pada 12 Januari 2023 yang mana sebahagian besar terlibat sepenuhnya dengan proses tuntutan bayaran balik ini.

Antara objektif taklimat ini diadakan untuk memberi pemahaman yang jelas berkenaan polisi had tuntutan bayaran, syarat-syarat tuntutan serta syarat-syarat khas yang baharu untuk diimplemenkan di UPM sepertimana yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan universiti. Peserta yang hadir telah memberi maklumbalas yang positif dan ramai yang mengajukan persoalan untuk mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci daripada penceramah. Selain topik tuntutan bayaran balik, Puan Yusnawati juga turut menyentuh tentang peraturan yang diguna pakai melalui pekeliling PK7 dan AP 59 yang penting untuk diamati oleh pegawai dan staf yang bertanggungjawab menguruskan proses kewangan di PTJ.

Beberapa pertanyaan yang diutarakan oleh peserta mengenai PK7 dan AP 59 ini turut dibantu oleh Pegawai Kewangan Bahagian Perolehan Puan Ana Azrin Ahmad dan Encik Mohamad Fadzil Hanafi Ibrahim untuk memberi penjelasan kepada peserta. Taklimat ini telah berjaya mencapai objektif yang diharapkan dan segala pertanyaan oleh peserta melalui aplikasi zoom online juga telah mendapat respon terus melalui chat dengan bantuan Cik Wan Rozidayani Wan Mohammad, Pegawai Kewangan yang juga terlibat dengan proses tuntutan dan bayaran.

Semoga taklimat yang padat, jelas dan mudah untuk difahami oleh peserta ini akan dapat membantu golongan sasaran melaksanakan tugas mereka di PTJ dengan lebih berkualiti dan yang paling penting mematuhi dasar, polisi dan peraturan kewangan semasa yang berkuatkuasa.

 

Tarikh Input: 20/01/2023 | Kemaskini: 20/01/2023 | aini_abd

PERKONGSIAN MEDIA

PEJABAT BURSAR
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97696208/ 3504
03-86560160
SXFDFAf~