Serdang, 29 Julai 2025 – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pejabat Bursar telah menganjurkan satu program taklimat bertajuk "Taklimat Plan Perlindungan Takaful Kenderaan, Bangunan dan Peralatan Universiti, termasuk Perlindungan Tambahan serta Proses dan Prosedur Tuntutan", yang berlangsung pada hari Selasa, bertempat di Dewan Kuliah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi 11, Blok E, Aras Bawah, Kampus UPM Serdang.
Program ini telah dijalankan dengan kerjasama Etiqa General Takaful Berhad, bertujuan untuk meningkatkan kefahaman berkenaan perlindungan takaful serta mekanisme tuntutan yang lebih berkesan dalam konteks pengurusan aset institusi pengajian tinggi.
Program yang berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 1.00 tengah hari diadakan melalui dua medium iaitu secara bersemuka dan juga online dihadiri oleh kakitangan serta pegawai-pegawai yang terlibat secara langsung dalam pengurusan aset universiti.
Majlis yang dimulakan dengan sesi pendaftaran seawal jam 9.00 pagi, diikuti dengan bacaan doa itu diteruskan dengan kata-kata aluan daripada Encik Mohd ‘Akhi Bin Abu Bakar, Ketua Bahagian Kewangan Pengurusan Aset, Pejabat Bursar UPM. Dalam ucapannya, beliau menekankan peri pentingnya para pegawai memahami secara terperinci tentang kandungan polisi perlindungan yang diambil oleh universiti agar proses tuntutan dapat dilakukan dengan lebih cekap, tepat dan mengikut prosedur yang betul.
Ucapan seterusnya disampaikan oleh Encik Mohd Zaidi Mohamad Saad, Pengurus Agensi Korporat, Etiqa General Takaful Berhad, yang memperkenalkan secara ringkas peranan Etiqa sebagai penyedia perlindungan takaful yang komprehensif dan mesra pelanggan. Beliau turut menekankan kepentingan hubungan strategik antara institusi seperti UPM dan pihak penyedia takaful dalam memastikan pengurusan risiko yang mampan dan berdaya saing.
Taklimat ini diteruskan dengan empat sesi pembentangan utama oleh wakil-wakil profesional dari Etiqa:
Program ini memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan maklumat terkini terus daripada pakar dalam industri takaful, selain membuka ruang dialog dua hala yang konstruktif bagi menambah baik sistem pengurusan aset UPM. Para peserta turut menyambut baik penganjuran taklimat ini yang disifatkan amat bermanfaat, terutamanya bagi pegawai yang bertanggungjawab terhadap kenderaan rasmi, aset tetap dan premis universiti.
Secara keseluruhan, taklimat ini mencerminkan usaha berterusan UPM dalam memperkukuh sistem pengurusan aset universiti melalui kerjasama strategik bersama pihak industri, selari dengan amalan tadbir urus terbaik dan prinsip kebertanggungjawaban.

Tarikh Input: 31/07/2025 | Kemaskini: 31/07/2025 | aini_abd

BANGUNAN CANSELORI PUTRA, ARAS 2, UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA, 43400, UPM SERDANG, SELANGOR.