BINGKISAN TERAKHIR BURSAR, SUKAR NAMUN TERPAKSA MELEPASKAN JUA | BURSAR OFFICE
» NEWS » BINGKISAN TERAKHIR BURSAR, SUKAR NAMUN TERPAKSA MELEPASKAN JUA

BINGKISAN TERAKHIR BURSAR, SUKAR NAMUN TERPAKSA MELEPASKAN JUA

SERDANG, 14 September 2021 –Selama 33 tahun 3 bulan 15 hari beliau menyumbang bakti kepada UPM, sempena hari terakhir beliau di UPM, warga Pejabat Bursar dengan penuh bangga dan meriah telah menganjurkan ‘Bingkisan Terakhir Bursar’ secara atas talian dan FB Live yang turut disertai oleh staf PTJ dan pelajar serta beberapa rakan di Universiti Awam.

Beliau, Dato’ Zulkiflee Othman, nama yang tidak asing lagi di kalangan warga Pejabat Bursar, apatah lagi warga UPM, akan meninggalkan perkhidmatan sebagai penjawat awam mulai 15 September 2021. Sebagai menghargai jasa beliau yang tidak mampu disaingi oleh sesiapa pun, satu majlis persaraan bagi tujuan apresiasi tersebut telah diadakan mulai jam 2.30 petang pada 14 September 2021.

Aturcara majlis yang sederhana namun meriah itu diadakan dengan mengambilkira garis panduan dan operasi standard yang telah ditetapkan oleh pihak OSH UPM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Acara dimulai dengan bacaan doa, diikuti dengan tayangan multimedia dan pemotongan pulut kuning. Usai deklamasi sajak oleh Pn. Noraini Abdullah, acara diteruskan dengan simbolik ‘Watikah Serah Tugas’ Dato’ Bursar kepada Puan Hajjah Izariahwati Mohd Isa. Paling mencuri perhatian hadirin pada petang tersebut adalah slot bingkisan dan ucapan Ybhg. Dato Zulkiflee Othman yang berinteraksi secara atas talian bersama mantan staf dan bursar terdahulu. Pelbagai pengalaman pahit manis, suka duka sepanjang menjalankan tanggungjawab selaku Bursar di UPM dikongsi bersama semua hadirin.

Majlis turut diserikan dengan penyerahan ‘photobook’ dan cenderahati berupa dulang hantaran yang mewakili pemberian setiap seksyen dan bahagian di Pejabat Bursar kepada Dato’ Bursar. Video saat beliau merakam waktu keluar terakhir pada sistem perakam waktu telah diambil buat kenangan. Beliau juga turut menggantung potret beliau sebaris dengan mantan Bursar terdahulu sebagai kenangan kepada semua warga Pejabat Bursar.

Sebagai pengakhiran majlis, beliau diiringi 11 pembawa dulang menuju ke kereta yang tersedia menunggu di foyer utama Bangunan Canselori Putra. Setelah mengucapkan terima kasih dan lambaian selamat tinggal, beliau memandu kenderaan khas tersebut untuk membuat persinggahan di empat pusat tanggungjawab sekitar UPM bagi mengucapkan selamat tinggal sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah.

Ribuan terima kasih diucapkan buat semua tenaga kerja yang terlibat dalam merealisasikan majlis ‘Bingkisan Terakhir Bursar’ terutamanya ketua-ketua bahagian yang mengusahakan kerjasama mengatur dan menyelaras program seiring dengan Seksyen Pentadbiran Pejabat Bursar. Didoakan semoga Dato’ Zulkiflee Othman dapat menempuhi hari-hari mendatang dengan tenang dan berbahagia bersama keluarga tersayang.

Date of Input: 30/09/2021 | Updated: 30/09/2021 | aini_abd

MEDIA SHARING

BURSAR OFFICE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-97696208/ 3504
03-86560160
SXEaVAO~